Disemak: 27 September 2023
Ingin mengadakan pertandingan anda sendiri melibatkan permainan Supercell? Tidak kira anda sekumpulan kecil peminat berdedikasi atau syarikat yang menganjurkan pertandingan, kami sedia membantu! Matlamat kami adalah untuk membuat pertandingan adil, menyeronokkan dan tanpa kerisauan untuk semua orang; kami telah menggariskan Garis Panduan Pertandingan ini untuk membuatkannya mudah difahami!
Yuran kejohanan mestilah percuma untuk semua pemain—tiada pengecualian! Ini termasuk yuran keahlian atau pas bermusim. Jika anda menganjurkan acara langsung, anda hanya boleh mengenakan yuran kemasukan ke tempat pertandingan dan bukan untuk menyertai pertandingan. Jika anda mengutip yuran daripada penonton, anda mesti membayar balik yuran itu kepada sesiapa yang memilih untuk bertanding.
Jika anda menganjurkan acara langsung, acara itu mesti diadakan di lokasi yang permainan Supercell tersedia untuk dimuat turun dan dimainkan melalui saluran rasmi Supercell.
Anda bertanggungjawab memberikan semua hadiah untuk acara anda. Anda tidak boleh minta pemain membiayai hadiah. Nilai gabungan maksimum kesemua hadiah yang ditawarkan boleh mencecah EUR 50,000. Jika anda sedang mencari cara untuk menyediakan hadiah untuk acara anda melebihi perkara di atas, sila hubungi kami.
Supercell bertanggungjawab ke atas permainannya tetapi, penganjur bertanggungjawab terhadap acara mereka. Anda tidak boleh menyatakan acara itu adalah "rasmi" atau Supercell terlibat, bertanggungjawab atau menyokong acara atau sebarang hadiah yang diberikan.
Sebagai penganjur, anda perlu memastikan acara anda sah di bawah undang-undang dan peraturan tempatan yang terpakai, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, sebarang undang-undang buruh yang mungkin berkaitan dengan pekerja di acara tersebut. Anda mesti melayan semua pekerja, kontraktor dan sukarelawan secara adil dan menyediakan kontrak bertulis untuk perkhidmatan mereka sewajarnya.
Acara anda tidak boleh melibatkan perjudian, cabutan berbayar atau pertaruhan sukan fantasi.
Untuk menganjurkan atau bermain dalam acara, anda mestilah cukup umur untuk bersaing atau menganjur dengan mengikut peraturan & keperluan tempatan – ini undang-undang! Peserta juga mesti berumur sekurang-kurangnya 13 tahun untuk menyertai acara dan dengan kebenaran bertulis atau secara peribadi daripada ibu bapa atau penjaga sah jika belum mencapai umur layak untuk acara dengan hadiah tunai. Akhir sekali, untuk bermain dalam acara, anda mesti bermastautin di lokasi yang permainan Supercell tersedia untuk dimuat turun dan dimainkan melalui saluran rasmi Supercell.
Pertandingan sepatutnya menyeronokkan dan mengalakkan penglibatan; pemenang mesti ditentukan berdasarkan kemahiran. Apa jua pemadanan perlawanan dan aktiviti tidak jujur yang sama adalah dilarang sama sekali! Anda mesti mengambil peranan aktif untuk memastikan pertandingan anda dijalankan dengan penuh integriti, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, mewujudkan peraturan pertandingan yang jelas, menyiasat tuntutan yang munasabah dan mengambil tindakan terhadap tingkah laku buruk.
Anda boleh menggunakan seni yang kami menyediakan, tetapi anda tidak boleh mengubah suai bahan-bahan ini. Logo permainan hanya boleh digunakan dengan kebenaran bertulis Supercell. Logo Supercell tidak boleh digunakan.
Anda boleh merakam atau menstrim pertandingan atau acara pada sebarang platform dalam talian. Anda, atau platform yang anda memilih untuk bekerjasama, tidak boleh mengenakan bayaran terhadap penonton yang menstrim pertandingan atau acara anda.
Pertandingan atau acara anda boleh ditaja oleh pihak ketiga, tetapi anda tidak boleh membuat tanggapan bahawa Supercell mencipta, menaja, atau mengesahkan (a) acara atau (b) penaja pihak ketiga anda, produk atau perkhidmatan mereka. Anda juga tidak boleh mempromosikan pertandingan atau acara anda menggunakan bahan yang serupa dengan logo serta tanda dagangan Supercell atau elemen produk dan perkhidmatan Supercell yang lain.
Tiada sebarang perkara dalam pertandingan atau acara anda boleh mengandungi atau mempromosikan kandungan yang mengelirukan, menipu, memperdaya, menyalahi undang-undang, lucah, memfitnah, mengancam, mengganggu atau tidak menyenangkan atau bertentangan dengan kepentingan Supercell.
Pertandingan atau acara anda tidak boleh mempromosikan syarikat permainan lain, penerbit permainan atau platform permainan lain, alkohol, tembakau, dadah, pornografi, senjata, mata wang kripto, teknologi blok rantai, pertaruhan atau perjudian, atau mana-mana syarikat, produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan perkara di atas.
Anda tidak boleh mendaftarkan tanda dagangan, nama domain, hak cipta, akaun media sosial atau alamat berkaitan untuk pertandingan atau acara anda yang termasuk atau sama mengelirukan dengan tanda dagangan Supercell (seperti SUPERCELL, CLASH ROYALE, CLASH ROYALE LEAGUE, CLASH OF CLANS, HAY DAY , BOOM BEACH, BRAWL STARS atau BRAWL STARS CHAMPIONSHIP) atau aset Supercell lain, tanpa perjanjian bertulis berasingan dengan Supercell.
Supercell boleh mempromosikan pertandingan atau acara anda, atau menggunakan pertandingan atau acara anda untuk melayakkan pemain untuk acara pertandingan dan aktiviti pemasaran rasmi Supercell.
Demi memberikan pengalaman permainan seperti yang direka, sila jangan guna sebarang pelagak, mod, bot atau perisian serupa lain behubung dengan pertandingan atau acara anda. Peranti mudah alih harus digunakan; khusus untuk penstriman/perekodan, anda harus memastikan anda menggunakan peranti mudah alih dengan resolusi yang cukup tinggi dan nisbah bidang yang betul untuk menyiarkan permainan dalam kualiti yang tinggi dan seperti yang diharapkan.
Terma Perkhidmatan Supercell , Dasar Privasi dan Dasar Kandungan Peminatdikenakan pada semua pertandingan dan acara. Supercell berhak mengambil tindakan mengikut kesesuaian, termasuk membatalkan hak untuk menjalankan pertandingan atau acara yang diberikan pada bila-bila masa.
Kami mahu pertandingan dan acara yang adil dan menyeronokkan. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuk menggantung atau membatalkan pertandingan dan acara jika perlu.
Jika pertandingan atau acara anda sesuai dengan Garis Panduan Pertandingan ini, anda tidak memerlukan lesen atau kebenaran lain daripada Supercell. Jika tidak, sila hubungi kami di tournaments@supercell.comuntuk melihat sama ada kami boleh bekerjasama.
Selain syarat-syarat ini, anda boleh mengadakan pertandingan atau acara mengikut suka hati anda! Format, peraturan dan hadiah pertandingan adalah terserah kepada anda, asalkan ia memenuhi Garis Panduan Pertandingan.
Ada soalan? Hubungi kami di tournaments@supercell.com.
Terima kasih dan berseronoklah!
Sila ambil perhatian bahawa Garis Panduan Pertandingan ini sentiasa berubah; ia mungkin dipinda pada bila-bila masa melalui penyiaran dalam talian, jadi sila semak semula di sini untuk kemas kini!